Perayaan Kaul disambut oleh orang Melanau dengan meriah pada bulan Mac/April setiap tahun dalam bulan Pengejin mengikut kalender Melanau. Perayaan ini diadakan untuk menjamu ipok yang mengawal laut. Tujuannya untuk memperoleh tangkapan yang memuaskan dan selamat semasa berada di laut serta mengelakkan pelbagai wabak dan penyakit. Perayaan ini melambangkan berakhirnya musim hujan dan kedatangan atau permulaan musim menangkap ikan. Dalam hari ini, serahang akan disediakan untuk menjamu ipok. Serahang adalah diperbuat daripada daun buluh dan daun nipah dengan memasukkan bertih, telur ayam, pulut kuning, kirai atau rokok daun, dan sirih ke dalamnya. Walau bagaimanapun, perayaan ini datang dengan keghairahan dan kegembiraan.
Selain Pesta Kaul yang disambut meriah setiap tahun, terdapat budaya yang masih utuh diamalkan oleh masyarakat Melanau khususnya yang melibatkan peristiwa kematian ahli keluarga. Walau bagaimanapun, amalan tersebut berbeza-beza mengikut daerah dan kampung. Bagi masyarakat Melanau yang mendiami daerah Matu, amalan yang berkaitan dengan kematian sudah banyak dipengaruhi oleh agama Islam. Selepas selesai majlis pengebumian, ahli keluarga akan bersedia untuk mengadakan upacara "sare" iaitu seperti rumah terbuka selama 7 malam berturut-turut. Rumah keluarga si mati akan dikunjungi oleh sanak saudara dan masyarakat setempat. Akan tetapi ia sudah dipengaruhi oleh agama Islam secara dengan majlis tahlil, bacaan yassin, sembahyang berjemaah, dan kenduri arwah. Adalah fenomena biasa bagi satu keluarga Melanau yang orang tuanya menganuti agama tradisional, dan anak-anak menganuti agama Islam dan Kristian.