PENANGAN SI COVID-19

    Novel Corona Virus atau lebih dikenali COVID-19, mendengar namanya sahaja kita sudah merasa gerun. Penghujung tahun 2019, dunia dikejutkan dengan sejenis virus baharu ditemui di negara China. Rekod semasa World Health Organization (WHO) yang dikumpul pada 03 Disember 2020, seramai 63,360,234 kes lantas meragut 1,475,825 nyawa yang memberi kesan kepada 220 buah negara dan wilayah. 

    Malaysia antara negara yang terkesan dengan virus ini. Virus ini telah banyak mengubah gaya dan norma hidup rakyat Malaysia. Semenjak Malaysia mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama pada 18 Mac 2020, rakyat Malaysia tidak bebas untuk bergerak kemana-mana. Pergerakan ke sesuatu tempat ada had masa dan kawasan, itu pun dengan tujuan penting sahaja. 

    Perintah Kawalan Pergerakan ini juga telah memberi kesan kepada saya serta keluarga. Kebetulan juga, isteri saya sarat mengandung anak kedua. Saya merasa amat teruja untuk melihat dan memeluk cahaya mata kami. Walaupun dalam keadaan yang serba terbatas, kehidupan mesti diteruskan. Sejak dari arahan PKP, pelbagai aktiviti serta kegiatan yang hanya banyak dijalankan di rumah. Dalam keterbatasan ini, ada juga kebaikannya sebab ahli keluarga kami sentiasa berkumpul bersama dan melakukan aktiviti seharian bersama. 

    Di sini saya akan ceritakan aktiviti seharian yang biasa dilakukan oleh kami sekeluarga. Pada waktu pagi, kami masih menjalankan rutin seperti biasa. Tetapi ada sedikit perubahan di mana kami akan bersenam di waktu pagi bersama-sama di halaman rumah. Aktiviti ini dijalankan agar badan lebih sihat dan cergas selain dari menghilangkan rasa bosan terperap di rumah. 

    Pada tengahari pula, kami akan bersantapan bersama-sama. Dimana kami jarang berkumpul dan makan bersama pada hari-hari sebelum PKP. Ini kerana masing-masing sibuk dengan urusan pada siang hari. Tetapi berlainan pula pada waktu PKP kami dapat meluangkan masa bersama semasa makan tengahari. 

    Pada waktu petang, kami akan bersama-sama menonton rancangan di televisyen yang menarik. Tambahan pula Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama pihak penyiaran berbayar memberikan siaran percuma semasa tempoh PKP. Sebelum matahari melabuhkan tirai, kami sekali lagi membuat senaman ringan dan bersantai sambil menikmati kudapan di perkarangan rumah. Ada juga antara kami yang sempat mengambil video pendek semasa bersenam dan aksi-aksi lucu untuk dimuatnaik ke laman media sosial. 

    Setelah waktu malam tiba sekali lagi kami akan makan malam bersama-sama dan pada saat inilah masa yang paling sesuai untuk kami lebih meluangkan masa bersama. Selepas semua selesai makan dan semua peralatan dibersihkan bersama-sama. Kami akan berkumpul di ruang tamu dan masa inilah kami menghargai masa berkumpul bersama untuk berdoa kepada Tuhan mengikut cara dan ritual keagamaan kami. Saat ini adalah saat yang jarang kami lakukan bersama pada waktu malam sebelum ini. PKP memberi peluang ini kepada kami untuk mengingati saat ini. Demikianlah rutin harian kami selama PKP dijalankan. 

    Bagi saya dan isteri, ada keseronokan dan keterujaan dalam tempoh PKP dimana kami akan menyambut kehadiran insan yang dinanti-nantikan kami selama ini. Isteri saya dijangka akan melahirkan cahaya mata kedua kami pada 1 Mei 2020, namun rezeki kami diawalkan Tuhan. Bayi kami selamat dilahirkan pada 27 April 2020 di Hospital Sibu

    Terlalu banyak untuk diceritakan dalam perjalanan dari saat isteri saya hendak bersalin hingga selamat dilahirkan. Namun saya sangat bersyukur akan kehadiran Ellie Abigail, sebab dia adalah anugerah dan peluang Tuhan berikan kepada kami. Dalam tempoh PKP dilanjutkan, saya amat bersyukur kerana saya diberi masa dan peluang untuk sentiasa bersama dan menjaga anak kami serta isteri yang masih dalam tempoh berpantang. Walaupun begitu, masih terdapat kekangan untuk bergerak membeli dan mencari barang keperluan. Setiap pergerakan luar daerah perlu mendapat kebenaran pihak polis. 

    Apa-apa pun PKP banyak mengajar erti kesyukuran dan memberi masa untuk kita renung sejenak akan apa kita lakukan semasa kita bebas dari ancaman CoVid-19. Semoga virus ini memberi kita pengajaran tentang kehidupan serta biarlah virus ini lenyap dari muka bumi dengan memberi kesedaran kepada penghuni bumi agar jangan mengambil mudah tentang perkara kecil dan tidak tampak. Sekecil-kecil bakteria, sehalus-halus virus ia mampu melumpuhkan seluruh dunia. Sekian, kita jaga kita. 



Nukilan,

Papa Grace @ Vincent Asam 
~04.12.2020